Kereta Tak Terlibat Kemalangan Pun Boleh Dapat Servis Tunda Percuma

Kereta Tak Terlibat Kemalangan Pun Boleh Dapat Servis Tunda Percuma

RAMAI mungkin sudah tahu tentang tuntutan baik pulih yang ditawarkan penyedia insurans kenderaan jika kereta kita terbabit kemalangan.

Tetapi tahukah anda, penyedia insurans turut menyediakan servis tunda jika kereta kita terbabit kemalangan atau rosak di tengah jalan? Jadi tiada sebab pun untuk panik atau stres kerana diserbu geng trak tunda apabila kereta kemalangan.

Kita berhak bercakap tidak! Cakap saja sudah telefon trak tunda insurans.

Kegagalan bercakap 'tidak' mungkin menyebabkan kita terpaksa mengeluarkan kos caj tunda (yang sepatutnya percuma), dan berdepan pula risiko kereta dihantar ke bengkel 'cekik darah'!

KERETA ROSAK DI RUMAH Servis tunda juga boleh digunakan untuk menunda kereta yang rosak di rumah atau pejabat, tidak semestinya rosak saja.

Misalnya, jika kereta tiba-tiba tidak dapat dihidupkan, telefon saja pihak insurans dan minta mereka hantar trak tunda untuk bawa kereta kita ke mana-mana bengkel dalam radius penghantaran percuma, kebiasaannya dalam jarak 60km (bergantung penyedia insurans, ada yang tanpa had perbatuan).

Servis tunda kenderaan percuma itu boleh digunakan sekurang-kurangnya 2-3 kali setahun. Ya, diulangi, kita tidak perlu bayar sesen pun, kecuali duit tol. Itu pun jika perlu melalui lebuh raya bertol.

Jadi, tidak perlulah panik dan gelabah! Nombor telefon penyedia insurans boleh saja di-Google atau lihat pada pelekat lapik cukai jalan pada cermin depan. Selepas memaklumkan butiran peribadi dan maklumat kereta, penyedia insuras biasanya akan menghantar trak tunda terdekat untuk datang menunda kereta kita.

BACA >>> #TahukahAnda: Tip Mudah Tanggalkan Pelekat Cukai Jalan
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Nissan GT-R Dipanggil Godzilla, Bukan Dugong atau Ketam?

HANTAR KE MANA?

Jika kemalangan, anda boleh minta kereta ditunda ke balai polis terlebih dahulu untuk melaporkan kes sebelum dihantar pula ke mana-mana bengkel yang menjadi panel penyedia insurans, atau ke Pusat Servis sah. Ini untuk memudahkan tuntutan kerosakan atau waranti.

Jika tidak melibatkan tuntutan insurans kemalangan, boleh juga hantar kereta ke mana-mana bengkel pilihan.

Apa nak buat kalau kereta kita rosak ketika sengkek tengah bulan? Pun tidak perlu risau, boleh minta tunda dulu kereta ke rumah. Apabila sudah cukup bajet, telefonlah semula penyedia insurans dan minta kereta ditunda sekali lagi ke bengkel.
Ini bukan masalah sains roket, tak rumit dan susah sangat pun. Setakat ini majoriti penyedia insurans menyediakan khidmat kereta, termasuk jika membeli pakej pihak ketiga (third party). 😚

BACA >>> #TahukahAnda: Coca-Cola dan Kereta Bersahabat Baik?