SUSULAN artikel mengenai kos sara kereta sebenar (baca: SINI), ada pembaca membangkitkan persoalan, bukankah kos senggara kereta terpakai lebih tinggi berbanding kereta baharu? Tidakkah kos yang dibelanjakan antara kereta baharu dan terpakai lebih kurang sama saja?
Bahasa mudahnya, betul, pemilik kereta terpakai bayar ansuran bulanan murah (atau beli tunai), tetapi mereka perlu berbelanja lebih kepada hal-hal penyenggaraan pula. Silap haribulan, sama saja jumlah bajet itu dengan bayar bulan kereta baharu.
Persoalannya, betulkah kos senggara kereta terpakai lebih tinggi? Dalam isu ini, ada dua jawapan yang boleh dipertimbangkan pembaca, iaitu YA (mahal) dan TIDAK (murah) seperti di bawah:
YA, jika dia jurujual kereta baharu (yang mahu jual kereta baharu kepada anda). Dan TIDAK, jika dia jurujual kereta terpakai (yang mahu jual kereta terpakai kepada anda).
YA, jika dia pemilik kereta terpakai yang bermasalah (selalu keluar masuk bengkel). Dan TIDAK, jika dia pemilik kereta terpakai yang tidak bermasalah.
YA, jika dia penasihat kewangan berasaskan banyak kes bangkrap disebabkan hutang pinjaman kenderaan. Dan TIDAK, jika dia ejen penjual kereta yang melihat tempoh waranti sebagai jaminan reliabiliti produk kerana kurang kos baik pulih.
YA, jika dia kurang wang. Dan TIDAK, jika banyak wang.
YA, jika dia malas ambil pusing pasal kerenah kereta (cukup mileage atau ada masalah terus hantar pusat servis). Dan TIDAK, jika dia pandai cari kedai alat ganti dan bengkel murah serta tahu sedikit sebanyak pasal kerenah kereta.
YA, jika dia mudah percaya cakap-cakap orang tanpa selidik. Dan TIDAK, jika dia tidak mudah percaya cakap-cakap orang, tetapi selidik dulu.
YA, jika dia guna kereta kaw-kaw (ulang alik jarak jauh, rentas negeri, kerja berat). Dan TIDAK, jika dia jarang bawa kereta (cuma hari minggu atau balik kampung) atau seperti pemandu lain (ulang alik pergi kerja jarak dekat). Buat apa bayar lebih kalau kereta dibiarkan di parkir saja?
Harap poin-poin di atas dapat menjawab persoalan anda. Risikonya tetap ada tidak kira sama ada anda membeli kereta terpakai atau baharu. Mungkin ada berpendapat kereta terpakai lebih berisiko rosak berbanding kereta baharu, tetapi bukankah semua risiko tersebut dapat diminimumkan?