10 Tip Beli Kereta Terpakai

SEBUT saja kereta terpakai, kami yakin ramai sedang dalam dilema dan risau, terutama anda yang memang sedang tercari-cari kenderaan untuk dibeli. Pelbagai persoalan timbul sama ada kereta tersebut pernah terlibat kemalangan, enjin masih baik atau mungkin tersilap beli kereta potong.

Apa yang pasti, bukan semua pembelian kenderaan terpakai berada dalam kondisi tip top seperti kereta baru. Boleh dikatakan beli kereta terpakai tidak ubah seperti bertaruh nasib. Di sini, kami berkongsi 10 tip membeli kereta terpakai yang mungkin sedikit sebanyak dapat mengelak diri anda ditipu:

1. KAJI & SELIDIK
Pembeli bijak akan buat ‘research’ dan tinjauan ke atas kereta yang ingin dibelinya sama ada menerusi sumber bercetak seperti majalah Mototrader, atau layari saja laman jual beli kereta terpakai online seperti Mudah.my, Carlist.my atau Oto.my. Apa patut dilihat ialah perbandingan jenis model, harga, spesifikasi dan ciri-ciri tambahan ditawarkan.

2. BAJET
Ketahui bajet anda sebelum ‘research’. Perkara ini amat penting untuk memudahkan anda mencari kereta yang benar-benar bersesuaian dengan bajet. Tidaklah jadi situasi bajet ciput, tetapi ada hati mahu beli kereta mahal.

3. BAWA MEKANIK SENDIRI

Anda boleh juga bawa mekanik sendiri untuk memeriksa kondisi kenderaan yang ingin dibeli. Mekanik bukan saja perlu menilai bahagian luaran dan dalaman, tetapi juga enjin. Serahkan kepada pakar.

BACA >>> Ya atau Tidak Kos Senggara Kereta Terpakai Tinggi?

4. POTONG SAMBUNG
Pelanggan kini tidak perlu lagi risau dengan risiko terbeli kereta potong kerana setiap kenderaan yang hendak bertukar tangan atau nama perlu menjalani pemeriksaann Puspakom. Malah, kelulusan pinjaman daripada pihak bank bergantung kepada keputusan pemeriksaan Puspakom. Jadi amat sukar kereta potong dapat dijual melainkan anda memang ada niat memiliki kereta tanpa geran dan cukai jalan.

5. KESAN KEMALANGAN
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memastikan kenderaan yang pernah terlibat dengan kemalangan benar-benar selamat sebelum dibenarkan bergerak atas jalan raya. Pengguna boleh merujuk kepada borang B2 yang mengesahkan kenderaan tersebut selamat digunakan walaupun pernah terbabit kemalangan.

6. PERIKSA NOMBOR CASIS
Perkara paling penting ialah periksa nombor casis dan enjin. Pengguna perlu memastikan nombor tersebut sama dengan dokumen pendaftaran kereta.

7. PEMERIKSAAN PUSPAKOM DAN JPJ

Sekali lagi diulangi, pelanggan kini tidak perlu risau terhadap kereta terpakai kerana setiap kenderaan yang dijualkan kepada pelanggan harus melalui beberapa pemeriksaan daripada pihak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd (Puspakom) dan JPJ. Pihak Puspakom akan memastikan kriteria ditetapkan dalam borang B7 mematuhi piawaian.

Apa perlu diteliti ialah nombor pendaftaran, enjin, tayar, keadaan cermin, penyaman udara, kotak gear, ekzos, potong sambung, nombor enjin dan casis serta ketebalan bunga tayar. Sekiranya pembeli masih tidak berpuas hati dengan laporan pemeriksaan Puspakom, pembeli boleh hantar kenderaan yang dibeli ke JPJ untuk diperiksa kali kedua.

BACA >>> Ketahui 6 Fakta Penting PUSPAKOM, Jangan Biarkan Hidup Anda Diselubungi Misteri

8. PANDU UJI
Anda berhak meminta dibenarkan memandu uji kenderaan yang mahu dibeli bagi memastikan enjin dalam keadaan baik. Antara bahagian enjin perlu dititik beratkan ialah kotak gear. Pastikan pertukaran gear lancar dan tidak tersangkut atau tersengguk. Maklumlah, kotak gear antara bahagian enjin paling mahal jika berlaku kerosakan.

BACA >>> Nak Beli @ Jual Kereta Sambung Bayar? Nah, Ini 10 Risiko Yang Bakal Anda Hadap

9. SEMAKAN SAMAN DAN SENARAI HITAM

Sila semak status kenderaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ untuk memastikan kenderaan anda bebas saman dan senarai hitam. Jika tidak, anda hanya mengundang pelbagai masalah.

10. PESANAN PENTING
Harus diingatkan, kereta yang cantik dan menawan dari segi luaran tidak semestinya terbaik. Sekiranya merasakan diri tertipu dengan syarikat penjual kenderaan terpakai, anda boleh merujuk perkara ini kepada bahagian Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).