Senggara Bateri Kereta Cara DIY

Senggara Bateri Kereta Cara DIY

Alatan Diperlukan: Spanar, penyembur penanggal kakis (corrosion-removal), berus dawai, kain lap
Masa Siap: 20 minit
Anggaran Kos: RM30

KUNCI utama memastikan kereta anda bergerak lancar dan berkesan ialah sambungan bateri yang baik. Walaupun bateri kereta anda daripada jenis bebas senggara (maintenance free), tetapi itu bukanlah bermakna anda boleh buat tidak ambil peduli saja sehingga kereta anda akhirnya terbujur kaku di tepi jalan.

Tahukah anda, sedikit hablur atau serbuk putih pada terminal bateri kereta sudah cukup untuk menghalang kereta anda daripada dihidupkan? Jadi, pemeriksaan ringkas secara pemerhatian ke atas kondisi bateri kereta mampu memberitahu anda bilakah masa anda perlu melakukan proses senggara tersebut. Ikut tip di bawah ini cepat!

1. Tanggalkan kabel daripada terminal bateri sepatutnya tidaklah sesukar mana. Anda cuma perlu menggunakan spanar saiz 10mm yang biasanya sudah siap dibekalkan bersama bekas alatan di belakang but.

2. Pastikan kabel negatif ditanggalkan terlebih dahulu. Jika terlalu ketat, gunakan pembuka skru mata rata untuk membuatkan ia longgar.

3. Cuci terminal bateri dengan penyembur penanggal kakis. Anda tentu pernah mendengar tip tentang air berkarbonat, Coca-Cola yang juga mampu melakukan tugas mencuci itu. Bagaimanapun, kami tetap menyarankan anda menggunakan produk lebih profesional dan spesifik yang boleh dibeli di kedai alat ganti dan aksesori kereta.

BACA >>> #TahukahAnda: Coca-Cola dan Kereta Bersahabat Baik?

4. Jika mahu cara paling klasik yang murah dan berkesan, gunakan saja bahan seperti air dan soda penaik (baking soda). Caranya mudah, taburkan soda penaik ke atas terminal sebelum tuangkan sedikit air dan biarkan sebatian tersebut berbuih selama seminit supaya dapat meresap ke dalam celahan kabel dan terminal bateri.

5. Kemudian, sental dengan berus dawai. Boleh juga gunakan berus gigi dan pastikan diberus hingga semua kotoran tertanggal dan permukaan terminal jadi bersih.

6. Bilas sisa cucian dengan air bersih. Keringkan terminal dan kabel dengan kain lap.

7. Pasang semula kabel pada terminal bateri. Pastikan diikat tidak terlalu ketat supaya tidak merosakkan alur skru, dan tidak juga terlalu longgar supaya kabel tidak mudah tercabut. Uji ikatan dengan menggoyangkan kabel ke kiri dan kanan.

8. Siap!

BACA >>> #ApaNakBuat: Bateri Mati? Jangan Risau, Hidupkan Kereta Anda Dengan Tali dan Jek

TIP PANTAS
Bateri kong atau mati ialah masalah kereta paling kerap dihadapi ramai pemandu. Walaupun sukar diduga, anda sebenarnya boleh mengagak hayat bateri kereta hampir ke penghujung apabila sudah menggunakan bateri itu selama lebih 2 tahun. Malah, bateri lebih cepat mati jika kereta dipandu secara kerap dan jarak jauh.

Tetapi, cara terbaik yang boleh memanjangkan hayat dan memastikan bateri kereta anda cekap beroperasi ialah membuka bonet setiap 2 atau 3 bulan sekali untuk memeriksa kondisi bateri dan melakukan tugas cucian seperti di atas jika diperlukan. 😉

Sumber: Pandulaju