SERVIS penyenggaraan berkala dibuat untuk mengenal pasti potensi masalah dan memastikan kereta dapat bergerak lancar. Sesetengah penyenggaraan boleh jadi minor atau major yang memerlukan alat ganti dan komponen berbeza dicuci atau diganti.
BACA >>> #ApaNakBuat: Senggara Bateri Kereta Cara DIY
Bagi mengetahui jenis penyenggaraan yang diperlukan kereta anda, adalah sangat penting untuk memahami perbezaan antara servis minor dan major. Di bawah ini ialah senarai jenis penyenggaraan yang biasa dibuat antara dua jenis servis utama tersebut:
MINOR
Pemeriksaan dan isi bendalir
Pemeriksan dan cuci penapis
Pemeriksan tali sawat kipas
Pemeriksaan sistem elektrik
Pemeriksaan hos dan tiub
Pemeriksaan tekanan, penjajaran dan imbangan (alignment & balancing) tayar
MAJOR
Pemeriksaan sistem suspensi
Pemeriksaan sistem transmisi
Baik pulih dan talaan enjin
Pemeriksaan sistem ekzos dan emisi
Pemeriksaan sistem stereng
Pemeriksaan sistem brek
BILA PERLU SERVIS?
Pastikan bawa ke bengkel bertauliah. Jangan main redah saja!
Servis minor biasanya dibuat setiap selang perbatuan 5,000km, manakala servis major setiap 20,000km. Namun, rata-rata kereta moden hari ini sudah menawarkan selang servis minor setiap 10,000km.
Semasa servis major, beberapa alat ganti, seperti minyak (ada banyak bahagian), pad brek, palam pencucuh, penapis minyak dan tali sawat (belting) mungkin perlu ditukar. Segalanya bergantung kepada apa direkomenkan jadual penyenggaraan pengeluar kenderaan anda, dan berapa kilometer kereta anda sudah bergerak.
BACA >>> Ciri-Ciri Pusat Servis Kereta Idaman Ramai
Penting untuk diketahui, servis minor atau major ialah sebahagian daripada jadual penyenggaraan kenderaan berkala. Jadi, pemandu disarankan supaya mengikut apa dijadualkan, dan bukan sekadar mementingkan rupa luaran semata-mata, tetapi mesti memastikan waranti kekal aktif (sekiranya masih dalam jaminan). Malah juga penting walaupun kereta anda sudah tamat tempoh waranti.
Mungkin ada pemandu tidak sedar (kerana tidak baca terma), waranti kenderaan boleh terbatal sekiranya jadual penyenggaraan tidak dipatuhi. Malah, ada sesetengah pengeluar sangat tegas dengan pematuhan jadual servis kenderaan.
Kebanyakan kenderaan masa kini memiliki ciri diagnostik elektronik yang berfungsi memantau sistem dalaman kereta. Sekiranya bermasalah, tanda amaran akan menyala pada panel meter di papan pemuka. Jika anda nampak lampu periksa enjin (check engine) atau tanda amaran lain, jangan pula tunggu jadual servis berikutnya.
Apa yang perlu dibuat, pergi segera ke bengkel. Ini termasuk sekiranya anda mengesan sebarang isyarat tidak normal sama ada secara pandangan, bauan, gegaran, dan bunyi pelik walaupun indikator amaran tidak menyala.
Sumber: Pandulaju.com.my