Huh! 5 Cara Memandu Teruk Yang Boleh Rosakkan Kereta Anda (SIRI 1)

Huh! 5 Cara Memandu Teruk Yang Boleh Rosakkan Kereta Anda (SIRI 1)

MEMBELI kereta adalah antara pelaburan terbesar dalam hidup kita. Kebanyakan kita mengharapkan kereta yang dibeli dapat bertahan lama dan kekal bergerak selama boleh tanpa menghadapi masalah besar. Namun, ada beberapa cara memandu teruk yang boleh menyebabkan kesihatan kereta anda menjadi buruk. Nah, kami senaraikan tabiat-tabiat itu sebagai pedoman:

1. ABAIKAN BREK TANGAN


Walaupun anda memarkir kenderaan atas permukaan rata, tiada alasan untuk anda tidak menggunakan brek tangan (brek parkir, e-brek). Tidak mengggunakan brek tangan menyebabkan berat keseluruhan kenderaan bertumpu kepada logam dalam transmisi dipanggil tuas parkir (parking pawl). Ia cuma sebesar jari dan boleh haus atau rosak akibat menampung berat kenderaan. Menggunakan brek parkir membantu memanjangkan jangka hayat komponen transmisi.

2. TANGKI HAMPIR KEHABISAN MINYAK

Sesetengah pemandu ada tabiat memandu dalam keadaan indikator minyak berkelip atau tangki minyak hampir kosong. Apa yang anda tidak tahu amalan mengekalkan isian minyak dalam tangki mampu mengelak kerosakan terhadap sistem bahan api kereta.

Kebanyakan pam minyak kekal sejuk apabila terendam dalam bahan api dalam tangki. Jadi, jika anda kerap memandu kereta dalam keadaan minyak kurang suku daripada kapasiti tangki, kereta anda berisiko menyebabkan kerosakan pam minyak. Biasakan diri menambah isian minyak apabila indikator bahan api menunjukkan baki 2 bar atau suku tangki.

3. TERGESA TUKAR GEAR UNDUR KEPADA PANDU


Anda mungkin kerap melakukan aksi ini. Sebaik saja mengundur keluar dari petak parkir, anda terus saja menarik tombol gear ke posisi D dan memandu seperti seorang pelumba Formula Satu (F1).

Anda mungkin menganggap tiada apa-apa berlaku, tetapi apabila kerap dilakukan, tabiat anda itu akan merosakkan trenpacu. Apa yang patut dilakukan ialah tunggu kereta anda berhenti sepenuhnya sebelum menukar gear kepada posisi pandu (D). Anda mungkin kerugian masa 2-4 saat, tetapi akan menyelamatkan kereta anda daripada kerosakan enjin, transmisi dan gandar. Takkanlah tidak boleh bersabar sikit?

BACA >>> Perlu Tak Saya Panaskan Enjin Setiap Pagi?

4. REV SEBELUM ENJIN PANAS


Membiarkan kereta anda melahu selama seminit atau dua minit apabila dihidupkan ialah disiplin memandu yang bagus. Amalan tersebut membantu minyak diagihkan ke seluruh enjin dan menyediakan blok enjin dan minyak enjin pada tahap suhu operasi.

Meligatkan (rev) enjin bukanlah cara yang betul untuk mempercepatkan proses memanaskan enjin. Tindakan meligatkan enjin ketika enjin sejuk hanya mencetuskan tekanan antara komponen-komponen rapat dalam enjin. Anda sepatutnya memberikan masa 60 saat sebelum mula memandu. Jangan pula terlalu lama, itu sudah membazir!

BACA >>> Huh! 5 Cara Memandu Teruk Yang Boleh Rosakkan Kereta Anda (SIRI 2)

5. TEKAN PEDAL MINYAK RAPAT


Anda memang peminat kereta sejati. Asalkan ada peluang, anda pasti menekan pedal minyak sehingga mencecah lantai. Masalahnya, setiap kali anda melakukan aksi full-throttle itu, selalu juga anda menekan brek dan berhenti mengejut.

Memecut secara drastik menyebabkan pembakaran minyak melampau (mungkin tidak bagi kereta elektrik), dan turut memberikan tekanan ke atas komponen trenpacu. Membrek mengejut pula boleh menyebabkan pad dan rotor brek cepat haus. Jangan biasakan diri selalu memandu kasar begini. Bertenanglah atau anda lebih rela mengeluarkan lebih wang untuk kerja-kerja bengkel.

SUMBER: Popular Mechanics