Sistem brek adalah sebahagian daripada servis penyelenggaraan pencegahan yang menyeluruh bagi memastikan kecekapan keseluruhan sistem brek kereta anda.
Terdapat pelbagai komponen untuk sesebuah sistem brek seperti kaliper brek, pad brek, piston brek, pin, dan sebagainya.
Tapi tahukah anda komponen brek yang selalu terabai adalah cakera brek (brake disc)? Memang ianya adalah amalan rutin untuk memeriksanya sekali dengan komponen brek yang lain, tetapi bagaimana nak tahu bila kena ganti?
Dalam rencana kali ini, kami huraikan 6 cara mudah untuk mengetahui samaada anda perlu menggantikan cakera brek anda.
1. Retak yang kelihatan
Sistem brek kerapkali melalui proses kitaran haba. Apabila anda memijak pedal brek, geseran yang berlaku untuk memberhentikan kereta menghasilkan haba.
Selalunya cakera brek berventilasi agar ia dapat disejukkan sebelum anda menggunakan ia semula untuk berhenti. Kitaran yang kerap ini dapat meletihkan logam dan menyebabkannya retak.
Perkara terburuk yang boleh berlaku adalah ketika cakera brek sangat panas dan kemudian disejukkan dengan cepat, seperti ketika anda berjalan di air banjir atau mencuci kereta sebaik sahaja memandu dengan semangat.
Pengembangan dan pengecutan logam yang cepat disebabkan oleh perubahan suhu secara tiba-tiba akan menyebabkannya retak. Apabila retakan dapat dilihat, sudah tiba masanya untuk mengganti cakera brek.
2. Sumbing
Kena batu kot. Imej dari Bimmerpost.
Sumbing mungkin disebabkan oleh perlanggaran atau serpihan jalan raya ke ruang roda (wheel well). Ia perkara yang jarang berlaku, tetapi boleh terjadi. Ia juga disebabkan oleh retakan yang sebelum ini diabaikan.
Cakera brek yang sumbing boleh menyebabkan kehausan pad brek pramatang, kerosakan pada bahagian lain, atau paling teruk, kegagalan sistem brek itu sendiri
3. Haus
Sampai pad brek pun makan.
Garisan alur bulat di permukaan cakera brek adalah normal. Ianya terjadi apabila terdapat kotoran di antara pad brek dan cakera brek. Untuk menyelesaikannya, anda hanya perlu membersihkan permukaan diantara pad brek dan cakera brek.
Cakera brek yang makin menipis harus diganti. Manual servis kereta harus mempunyai maklumat mengenai ketebalan minimum cakera brek atau ada ukiran pada cakera itu sendiri.
Sekiranya cakera brek mempunyai bibir yang kelihatan di tepi di mana ia menyentuh pad, anda boleh lihat dengan jelas bagaimana pad brek telah memakan permukaan cakera itu sendiri.
4. Tak sama tebal / Tak sama rata
Imej dari Motoring File.
Selalunya anda boleh rasa keadaan sebegini sebab kadang-kadang ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar mahupun diukur. Sekiranya pad brek menempel pada permukaan cakera yang tidak rata, anda boleh rasakan getaran di stereng, pedal brek, atau keduanya.
Getaran brek dan bunyi bising yang dihasilkannya adalah lebih jelas ketika anda brek pada kelajuan yang lebih tinggi, macam cakera brek yang sudah bengkok.
Endapan bahan pad brek yang tidak rata pada permukaan rotor akan mendorong pembentukan ‘cementite’, produk sampingan bahan pad dan logam pemutar yang terikat bersama oleh haba.
Anda boleh saja ‘skim’ cakera brek anda untuk menjimatkan kos, tetapi selalunya harga cakera brek baru pun tidaklah mahal sangat. Pad brek baru yang tidak melalui proses ‘running-in’ yang betul akan menyebabkan masalah ini juga.
5. Karat
Jangan risau, ini perkara biasa.
Karat di permukaan cakera brek adalah perkara biasa kerana besi dioksidakan oleh udara lembap. Namun, pembentukan karat yang ketara dengan pemisahan serpihan adalah berbahaya.
Tapi kalau dah sampai macam ni, tukar oi!
Ini bermaksud karat meluas jauh dan telah menjejaskan integriti struktur bahan cakera brek itu sendiri. Ia akan pecah, bukan berhenti, apabila tekanan yang cukup dikenakan.
6. Kecekapan brek
Sekiranya anda menyedari bahawa brek kereta anda tidak berfungsi dengan berkesan dan memerlukan tekanan pedal yang lebih banyak untuk menghentikan kereta, kemungkinan besar cakera brek anda tidak memberikan daya tahan yang cukup untuk menghentikan tenaga kinetik pada roda berputar.
Ia telah menjadi terlalu lembut sehingga pad brek (walaupun baru sekalipun) tidak dapat melekap padanya dengan betul.
Konklusi
Sememangnya ramai yang terlepas pandang tentang cakera brek ini. Kami harap anda dapat menjadi pemilik kereta yang bijak dan lebih bertanggungjawab untuk memeriksa dan menyelenggara sistem brek anda kerana ianya satu-satunya kelengkapan untuk anda memberhentikan kereta.