Tip Penjagaan Bagi Sistem Penyejukan Kereta Anda

Penyejuk enjin: Tip penjagaan bagi sistem penyejukan kereta anda
Berada di bawah panas terik boleh membuatkan anda rasa pening, lemas, jantung berdegup laju, dan boleh menyebabkan kematian. Terperangkap di dalam kereta panas boleh menyebabkan maut pada orang dewasa dalam masa hanya 1 jam. Sama seperti manusia, enjin kereta juga boleh rosak teruk jika ia terus-terusan berfungsi dalam keadaan panas berlebihan.

Enjin boleh mengecut, mengembang, berubah bentuk atau retak apabila ia terlalu panas. Kepanasan melampau sememangnya tidak elok untuk kesihatan enjin anda. Untuk mengekalkan tahap suhu yang ideal, kereta dilengkapkan dengan sistem penyejukannya sendiri. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan dengan anda beberapa langkah penjagaan yang berguna dan mudah untuk sistem penyejukan kereta anda.

Kereta dengan pemanas mempunyai sistem pemanas yang disambung dengan sistem penyejukan enjin. Gambar: cars.com Sistem penyejukan enjin kereta beroperasi dengan konsep pemindahan haba yang sangat ringkas. Konsep pemindahan haba ini juga boleh ditemui di dalam sistem penghawa dingin, peti sejuk, ataupun ‘gaming PC’ yang disejukkan dengan air. Bagi memastikan sistem penyejukan anda sentiasa berada dalam keadaan yang baik, elok juga bagi anda untuk mengenali komponen-komponen dalam sistem tersebut.
Komponen utama dalam sistem penyejukan termasuklah:

Penyejuk / ‘coolant’
Pam air
Radiator
Kipas radiator (termasuk ‘relay’ dan termostat)

Jom kenali komponen-komponen ini satu persatu supaya kita faham bagaimana ia berfungsi dan tahu bagaimana untuk mengesan masalah di kemudian hari.


1. Cecair penyejuk / ‘coolant’

Apabila anda buka hud kereta, anda akan nampak satu penutup kecil dengan stiker amaran yang mengingatkan anda untuk tidak membukanya ketika panas. Sila patuh dengan arahan ini dan jangan buka ketika enjin panas atau berasap. Ini namanya penutup radiator (‘radiator cap’). Selain daripada ini, anda juga akan ternampak tangki simpanan radiator. Tangki ini berisi cecair penyejuk. Penyejuk ini mengeluarkan haba daripada enjin, disejukkan oleh radiator dan ia akan berkitar semula ke enjin.

Berapa lama selang-masa penukaran cecair penyejuk?

Bagi Perodua Bezza; 40,000 km atau 24 bulan. Ia bergantung kepada model kereta anda. Tapi, secara umumnya, penyejuk radiator harus ditukar dalam jangkamasa ini.

Apakah masalah yang boleh dihadapi cecair penyejuk?

Penyejuk boleh bertukar menjadi lebih berasid dan boleh menghakis komponen lain jika dibiarkan saja tanpa servis. Memandangkan penyejuk bergerak melalui seluruh sistem penyejuk kereta, ini akan menyebabkan hakisan pada radiator, pam air, termostat, penutup radiator, hos, dan lain-lain bahagian yang ada pada sistem penyejuk tersebut. Cecair penyejuk yang telah bertukar warna kepada warna coklat bermaksud karat telah menjangkiti sistem ini.

Penyejuk juga boleh bocor. Kebocoran yang ketara selalunya boleh dilihat dengan mata kasar. Tapi, cara lain untuk mengesan kebocoran juga adalah dengan melihat tahap cecair penyejuk ini di dalam tangki simpanan radiator. Kalau ada penurunan yang tidak sekata, kemungkinan ada kebocoran.


2. Pam air

Pam air berfungsi sebagai pengedar cecair penyejuk di dalam enjin. Pam air selalunya berfungsi dengan ‘belt’, tapi beberapa jenis kereta moden dilengkapi dengan pam air elektrik. Anda mungkin pernah dengar mekanik menyarankan anda untuk menukar pam air sekali apabila anda mahu menukar ‘timing belt’. Selang-masa penukarannya lebih kurang sama. Tambahan pula, pam air adalah komponen pakai-buang dan ini bermaksud anda harus gantikan dengan baru saja pada selang-masa yang disarankan.

Pendesak pam air boleh berkarat dan terhakis. Sumber gambar
Apakah masalah yang boleh dihadapi pam air?

Bahagian dalam pam air ini ada pendesak yang diperbuat daripada plastik atau besi. Jika ia plastik, ia boleh patah. Jika ia besi, ia boleh terhakis hingga tiada bilah yang tinggal. Galas pam air juga boleh terjejas dan menghasilkan bunyi geseran. Jika anda kesan tanda-tanda pam air yang dah rosak, seeloknya tukar kepada yang baru saja. Lagipun, ia memang pakai-buang.


3. Radiator

Di dalam radiator inilah dimana cecair penyejuk yang panas disejukkan semula. Radiator diperbuat daripada sirip-sirip yang kecil yang meningkatkan luas kawasan permukaan bagi pelepasan haba.

Apakah masalah yang boleh dihadapi radiator?

Radiator yang retak Ia boleh retak, tersumbat, atau bocor. Keretakan dan kebocoran boleh dikesan secara visual. Bagi mengesan sumbat pula, anda perlu lakukan ujian saliran dan lihat berapa pantas radiator boleh dikeringkan tanpa penyumbatnya. Saliran penyejuk yang turun perlahan adalah tanda radiator tersumbat.


4. Kipas radiator

Kipas radiator bermotor Kipas radiator meniupkan angin kepada radiator tersebut. Beberapa enjin pacuan belakang mempunyai kipas radiator yang menggunakan ‘belt’ dan ini mempunyai masalahnya yang tersendiri. Kebanyakan kereta di Malaysia adalah pacuan roda hadapan dan mempunyai konfigurasi enjin melintang. Oleh itu, kipas radiator kita selalunya bermotor.

Beberapa enjin pacuan belakang dilengkapi dengan kipas yang berfungsi dengan ‘belt’. Gambar: liveabout.com
Apakah masalah yang boleh dihadapi kipas radiator?

Motor elektriknya boleh gagal dan kipasnya akan berhenti berpusing. Ini bermaksud tiada angin ditiup pada radiator. Jika kereta anda menggunakan satu kipas sahaja untuk radiator dan sistem penghawa dingin, anda mungkin boleh mengesan masalah ini apabila penghawa dingin anda dah kurang sejuk.

Perodua Bezza tiada tolok suhu air. Hanya ada lampu amaran untuk menunjukkan tahap suhu enjin. Ini satu kekurangan yang kami tak suka.
Selain daripada itu, anda juga mungkin akan lihat peningkatan pada suhu air jika kipas ini rosak. Apabila ini terjadi, cepat-cepat tutup enjin untuk mengelakkan perkara lebih buruk terjadi.

Kluster tolok pada Proton Persona mempunyai tolok suhu air. Gambar: kensomuse Satu perkara yang boleh terjadi dan buat panas hati ialah apabila ‘relay’ atau termostat kipas radiator gagal berfungsi. Inilah komponen yang mengawal pemasangan dan penutupan kipas radiator. Apabila komponen ini gagal berfungsi, kipas radiator tidak akan terpasang bila diperlukan. Pastikan anda ganti komponen ini dengan alat-ganti yang tulen lagi asli bagi memastikan pemanduan yang selamat.

Kepala enjin yang retak. Gambar: enginebuildermag.com
Secara ringkasnya, ada 4 komponen utama pada sistem penyejuk enjin yang anda boleh periksa sendiri. Tanya pendapat orang yang pakar sebelum anda nak ‘DIY’ apa-apa. Anda juga boleh periksa hos untuk mengesan kerosakan atau kebocoran. Jika anda bercadang untuk membuat perjalanan jauh, pastikan yang sistem penyejukan kereta anda berada dalam keadaan sempurna. Jika anda rasa ragu-ragu, tutup saja enjin kereta dan minta nasihat pakar. Enjin rosak disebabkan oleh kegagalan sistem penyejuk bukanlah satu pengalaman yang menyeronokkan.