Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Model Utama.
Jadi, hari ini Proton X50 telah pun dipertontonkan dan dibuka untuk tempahan secara rasmi esok, walaupun masih belum lagi dilancarkan. Tetapi, itu sudah cukup untuk membolehkan sebahagian daripada perincian penawarannya juga turut diumumkan.
Satu perkara yang ramai yang ingin tahu tentulah penawaran spesifikasinya. Dan, itu memang telah didedahkan dengan perincian penuh. Keseluruhannya akan ada empat varian untuk pengguna – 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5L TGDi Flagship.
X50 merupakan SUV kedua oleh Proton selepas X70; jika SUV X70 menggunakan asas dari model Geely Boyue, X50 juga mengikut jejak yang sama dengan menggunakan asas daripada model yang lebih kecil, Geely Binyue (juga dikenali dengan nama Coolray di sesetengah pasaran).
Dari segi penampilan, tidak banyak perbezaan antara Binyue dan X50. Bagaimanapun, menurut Proton, sekitar 406 komponen telah menerima peralihan atau rekaan baru, terutamanya yang melibatkan peralihan kedudukan pemanduan dari sebelah kiri ke sebelah kanan. Perbezaan paling ketara, seperti yang ramai sedia maklum, ialah rekaan gril infinite weave yang digunakan; kontras antar hitam dengan bahagian busur panahnya kini dengan warna merah.
Logo baru “kepala harimau” Proton juga digunakan, dengan saiz yang lebih besar daripada logo lama sebelum ini dan lebih mudah dilihat. Logo yang sama turut ada pada rim. Banyak kelengkapan menarik, dari segi kualiti dan juga teknologi, yang ada pada X50, terutama pada varian Flagship yang anda lihat ini. Lampu misalnya menggunakan jenis LED penuh di depan dan belakang.
Dari segi saiz, X50 tidak jauh berbeza dari Honda HR-V yang berada dalam segmen yang sama. X50 mempunyai dimensi ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi. Ini bermakna X50 adalah 4 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan 4 mm lebih tinggi berbanding HR-V. Jarak antara rodanya juga 10 mm lebih pendek.
Daripada empat varian yang ditawarkan itu pula, terdapat dua enjin berbeza yang melengkapi model ini. Tiga model paling bawah – Standard, Executive dan Premium – menggunakan unit “1.5T” turbo dengan janaan kuasa 150 PS dan 226 Nm; ini merupakan penawaran yang unik untuk pasaran Malaysia, kerana baru pertama kali digunakan.
Paling penting dan menarik tentulah varian Flagship. Walaupun dengan kapasiti yang sama, unit 1.5L adalah berbeza – turbocas tiga-silinder petrol yang dibangunkan oleh Volvo dan Geely. Enjin ini menjana sebanyak 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Semua varian X50 digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan. Tak ada versi 4WD untuk SUV kompak ini.
Sama seperti Binyue, X50 menggunakan platform B-segment Modular Architecture (BMA) oleh Geely, dengan tetapan suspensi MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang. X50 akan dipasang sepenuhnya di kilang Proton Tanjung Malim, dengan ketika ini kadar kandungan tempatannya berada pada tahap 40%. 70 vendor tempatan terlibat di dalam projek ini.
2020 Proton X50 1.5 TGDi Flagship Ext-43_BM_R2020 Proton X50 1.5 TGDi Flagship Ext-44_BM_R
Untuk mengetahui dengan lebih terperinci perbezaan spesifikasi bagi setiap varian, sila rujuk senarai pecahan di bawah.
Proton X50 1.5T Standard 2020
Ciri standard:
1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol
Sekitar 150 PS dan 226 Nm tork
DCT tujuh-kelajuan (klac basah) automatik dengan mod manual
Empat beg udara
Lampu dan DRL LED
Rim aloi 17-inci
Kerusi balutan fabrik
Corong pendingin hawa belakang
Unit infotainmen dengan skrin lapan-inci
Kamera undur
Proton X50 1.5T Executive 2020
Tambahan:
Enam beg udara
Stereng balutan kulit
Lampu automatik
Lampu kabus depan
Kerusi balutan kulit
Proton X50 1.5T Premium 2020
Tambahan:
Sistem pemantauan tekanan tayar
Rim aloi 18-inci
Kerusi kuasa elektrik untuk pemandu
Unit infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci
Kamera 360-darjah
Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020
Tambahan:
1.5 liter turbocas suntikan terus tiga-silinder petrol
177 PS dan 255 Nm tork
Advanced Driver Assistance System (ADAS)
Warna luaran dua tona (bumbung dan tiang hitam)
Bumbung kaca panoramik
Enam warna diberikan sebagai pilihan, termasuk; Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red. Tempahan mula dibuka esok, 16 September dengan bayaran RM500. Siri jelajah setiap bandar utama juga akan dilakukan oleh Proton bermula 19 September nanti. Jika berminat, anda boleh mendekati model ini nanti untuk melihat dari dekat.