Untuk kebanyakan pengguna, mereka akan isi tayar kenderaan mereka dengan udara biasa yang disediakan oleh pam-pam di stesen minyak.
Namun bagi pencinta kenderaan, gas nitrogen ialah sesuautu yang dilihat lebih baik untuk tayar kenderaan mereka.
Ada yang berkata nitrogen itu lebih ringan, maka kenderaan akan lebih laju dan lebih baik pengendaliannya.
Ada juga yang berkata tayar diisi dengan gas nitrogen akan menjimatkan penggunaan bahan api.
Sebenarnya tidak. Berat tayar tidak begitu berbeza samada menggunakan gas nitrogen atau udara biasa kerana berat udara terlalu ringan untuk dirasai perbezaannya.
Kelebihan sebenar penggunaan gas nitrogen ialah lebih kepada sifat gas tersebut yang lebih kering dari udara biasa.
Udara biasa mempunyai kandungan wap air yang sangat tinggi. Kandungan wap air di setiap tayar pula berbeza dan ini menyebabkan tekanan udara mengembang dengan kadar berbeza untuk setiap satu tayar tersebut.
nitrogen vs angin
Tayar yang diisi dengan gas nitrogen mengandungi kurang wap air berbanding dengan udara biasa. Apa yang terjadi jika tayar kenderaan anda diisi dengan nitrogen ialah tekanan udara di semua tayar akan berada pada paras yang hampir-hampir sama.
Ini memastikan pengendalian kenderaan lebih baik, terutama jika dipandu laju di litar.
Satu lagi kebaikan utama penggunan nitrogen ialah sifat molekul nitrogen yang lebih besar dari molekul oksigen. Oleh itu, ia lebih lambat untuk keluar dari dinding tayar kenderaan anda.
Memang normal untuk tayar yang diisi oleh gas nitrogen mempunyai tekanan yang sama selama berminggu-minggu.
Jika anda mahu menggunakan nitrogen untuk tayar anda, pastikan anda menggunakan pam nitrogen yang diselenggara.