Gaji tinggi Tapi Loan Tak Lepas. Apa Sebab-sebab Bank Tolak?

“Gaji tinggi, tapi nak beli Civic loan tak lepas.” Ini sebab pinjaman auto ditolak.

Apabila bercakap tentang duit, perkara pertama yang orang akan sering tanya terlebih dahulu ialah, “Berapa gaji sebulan?” Sebenarnya, yang paling penting bukanlah berapa biji “00” dalam slip gaji semata-mata – tapi tabiat perbelanjaan anda jadi penentunya.

Mungkin anda dah selalu dengar tentang hal ini. Selain daripada memberi anda rebiu dan tip-tip bagi memilih kereta idaman anda, kami juga ingin sentuh hal mengenai cara terbaik untuk anda dapatkan kereta idaman tanpa menjerat poket sendiri.

1. Ukur kereta di poket sendiri.
Nasihat pertama ialah “sedar diri”. Mengakui kekurangan dan kesilapan diri sendiri adalah langkah pertama dalam membuat apa-apa keputusan. Kenapa nasihat ini yang paling berguna? (1) Apabila anda dah ada kesedaran kendiri, anda tahu kereta yang mana harganya berada dalam kemampuan anda, (2) kalau nak juga yang mahal, anda akan mula berfikir cara untuk mencari pendapatan lebih yang halal untuk tabung ‘wish-list’ anda, dan (3) anda akan mula bertindak ke atas sebab-sebab di bawah – samada buat bayaran balik atau ubah tabiat.

Kami juga pernah bincangkan tentang ‘Rule of 78’ dan sebab mengapa anda harus cuba kurangkan tempoh pinjaman sebelum memohon bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Katakanlah anda idamkan Honda Civic berharga RM 108,165 (dengan SST), maka tahap kemampuan anda untuk membeli kereta ini (secara kasarnya) ialah “harga kereta / 12 bulan = pendapatan kasar”; RM 108,165 / 12 = RM 9,013.75. Jika pendapatan isi rumah mencukupi dan komitmen lain tak banyak, silakan. Jangan lupa kira kos penjagaan dan penyelenggaraan pula.
Ya, semua masalah bukan mudah untuk diselesaikan. Ada banyak isu lain seperti kestabilan pekerjaan dan tangga gaji yang lambat betul nak naik. Ambillah ini sekadar nasihat dan bertindaklah sebaiknya.
Pinjaman automotif selalunya akan merujuk umur, penyata gaji, penyata bank, sijil SSM bagi yang berniaga, laporan CTOS dan laporan kredit CCRIS peminjam. Ramai yang tersekat di bahagian terakhir sekali iaitu laporan CCRIS.

2. Kaji laporan CCRIS dan kriteria yang dinilai
Central Credit Reference Information System (CCRIS) ialah sistem yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Secara amnya, laporan ini mengumpul maklumat kredit peminjam untuk memastikan yang peminjam mampu untuk membayar balik pinjaman yang dipohon dengan berdisiplin. Corak pembayaran balik anda akan dipaparkan dalam bentuk skor di dalam laporan tersebut.
Kriteria yang dinilai termasuklah “Outstanding Credit” (baki pinjaman tertunggak), “Special Attention Account” (pinjaman yang dipantau rapat oleh institusi kewangan seperti AKPK), “Application for Credit” (jumlah permohonan pinjaman yang diluluskan dalam tempoh 12 bulan sebelum laporan dikeluarkan), dan “Instalment in Arrears for last 12 Months” iaitu pinjaman yang tidak berbayar pada masanya dalam tempoh 12 bulan. Di sinilah tabiat pinjaman anda dilihat – 1 bulan yang tertunggak akan ditanda “1” pada bulan tersebut. Peminjam PTPTN selalunya akan ada nombor besar di sini jika belum dibayar bertahun lamanya.

Sumber: iMoney.my How to Read Your CCRIS Report Bagi pembelian aset, kadangkala yang tiada skor kredit pun bermasalah. Sekurang-kurangnya ada satu rekod pembayaran bulanan akan memudahkan anda untuk membuat pinjaman kerana ada indikasi tentang tabiat pinjaman/bayaran anda. 'Postpaid' telko atau kad kredit pun jadi lah - asalkan ada sesuatu untuk dijadikan rujukan bertulis untuk bank menilai tabiat kewangan anda. Duit kutu malangnya tak direkod.

3. Periksa nama jika disenarai-hitam
Gambar oleh Scott Graham di Unsplash Bagi hal yang satu ini, anda boleh periksa CTOS untuk pastikan status anda bebas daripada saman atau perintah muflis. Pinjaman automotif juga seringkali tidak diluluskan kerana nama anda disenarai-hitam oleh institusi peminjam kerana anda meminjam atau menjamin peminjam. Sila rujuk PTPTN, MARA, Courts Mammoth, Coway, atau skim sewa beli lain yang berkaitan jika bank kata anda disenarai-hitam – barangkali ada kes anda telah dibawa ke mahkamah atas kegagalan pembayaran balik.

4. Sebab-sebab lain
Antaranya ialah Nett Disposable Income (NDI) atau gaji pokok anda terlalu rendah untuk kereta/motosikal yang hendak dibeli. Selalunya gaji bawah RM 2,000 perlukan seorang penjamin. Mintalah seorang ahli keluarga anda untuk jadi penjamin dan sentiasalah berdisiplin dalam bayaran balik.

Umur terlalu muda juga menyukarkan kelulusan pinjaman – selalunya melibatkan mereka yang berumur 24 tahun ke bawah. Nak beli YSuku? Penulis dengar yang ramai budak-budak zaman sekarang sanggup berhujan berpanas buat FoodPanda, kumpul duit dan beli motosikal secara tunai. Pun boleh, lagi bagus sebenarnya. Abang-abang yang dah matang, contohilah adik-adik ini.

Ada juga institusi-institusi kewangan yang menawarkan pinjaman automotif dengan skim pembiayaan eksklusif bagi lepasan ijazah Diploma/Sarjana Muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Pinjaman konvensional selalunya memerlukan slip gaji 3 atau 6 bulan. Tapi, skim-skim sebegini hanya perlukan surat tawaran pekerjaan/”offer letter” dari syarikat majikan dan seorang penjamin dari kalangan ahli keluarga. Bayaran bungalah tak tahulah pula, barangkali tinggi sedikit.

Proton Saga, sedan paling laris dengan pengendalian ('handling') yang hebat dan kelengkapan yang bagus - pilihan yang sangat berbaloi.
Tapi, apa-apa pun, janganlah beli kereta yang terlalu jauh diluar dari kemampuan anda. Bagi yang tak ada masalah dari segi pendapatan atau duit, pastikan anda tak simpan duit bawah bantal dan abaikan bayaran bulanan anda.
Kereta atau motosikal, dalam perspektif lain, ialah kendera rezeki anda. Pandai-pandailah jana pendapatan dengan apa yang anda ada.