Overhaul enjin kereta melibatkan proses yang agak teliti dan rumit. Manakan tidak, overhaul secara amnya bermaksud meleraikan enjin supaya mekanik boleh membaiki punca masalah itu secara terus dan langsung pada bahagian komponen yang bermasalah.
Setelah selesai mengganti komponen enjin yang patut diganti dan membersihkan enjin, ia perlu dipasang semula dengan betul. Lebih kurang seperti melengkapkan ‘jigsaw puzzle’, tapi silap sedikit akan mengakibatkan ‘penyakit’ enjin sama atau bertambah teruk.
Top overhaul Proton Saga FLX. Gambar: FB Bengkel Kereta Bergerak Jerteh,Besut & Sekitar
Apa perbezaan top overhaul dan full overhaul?
Mekanik hanya perlu mencabut bahagian atas enjin untuk top overhaul tanpa mengeluarkan keseluruhan enjin dari badan kereta. Manakala keseluruhan enjin perlu diturunkan untuk melaksanakan full overhaul. Tak semua enjin boleh dibuat top overhaul, contohnya enjin ‘boxer’ yang perlu diturunkan dari kereta. Top overhaul lebih mudah dan boleh dilakukan keatas enjin ‘inline’ dan ‘V block’. Melainkan anda memandu beberapa model Subaru atau Porsche, kebanyakan kereta-kereta biasa seperti Proton, Perodua, Toyota atau Honda boleh dibuat top overhaul saja.
Masalah enjin kereta yang perlu overhaul
Sama seperti manusia, kadangkala ada penyakit kenalah di’operate’. Overhaul ini lebih kurang seperti ‘membedah’ enjin. Secara umumnya, masalah boleh dirasai apabila kereta anda memang terasa seperti kereta lama/buruk. Dan yang pastinya, panel instrumen anda akan keluarkan lampu amaran atau anda akan nampak meter suhu naik, oleh itu jangan buat-buat tak nampak pula.
Kalau boleh, janganlah biarkan enjin kereta anda rosak teruk sampai kena overhaul. Jika amaran suhu naik dan lampu amaran enjin tidak diendahkan dan anda tak pergi buat pemeriksaan, enjin kereta anda boleh 'crack', tiba-tiba dah tak boleh dipacu semasa memandu, dan akhirnya berasap di tepi jalan. Besar kemungkinan anda terpaksa buat overhaul. Elakkan!
Komponen yang terlibat dalam proses overhaul
Antara perkara-perkara yang menyebabkan anda terpaksa overhaul ialah:
Asap ekzos putih
Ada komponen yang patah atau retak
Ada kebocoran minyak hitam - bila periksa 'dipstick' tahap minyak selalu kurang
'Timing belt' putus
Selalunya, masalah ini disebabkan oleh komponen yang rosak seperti ‘piston’, ‘piston ring’, ‘spark plug’, ‘timing belt’ haus, ataupun ada komponen yang patah, retak, bocor atau tersekat (selalunya disebabkan mendapan karbon).
'Rocker arm shaft' yang calar boleh merosakkan 'camshaft’. Gambar: hondatwins.net
Kerosakan komponen ini pula akan mengakibatkan benda-benda dalam kereta anda berada di tempat yang tak sepatutnya – seperti air atau minyak termasuk ke dalam silinder. Kadangkala, mekanik menggelarnya ‘enjin banjir’.
Video dibawah menunjukkan proses-proses top overhaul oleh mekanik bertauliah:
Antara komponen yang terlibat dalam top overhaul ialah ‘cylinder head’, injap, ‘distributor seal’, ‘rocker arm’, ‘head gasket’, dan skru silinder. Jika kereta anda menjalani top overhaul disebabkan kepanasan melampau/’overheat’, pastikan mekanik anda membuat ‘skim head’ iaitu meratakan permukaan ‘cylinder head’ supaya enjin anda kembali stabil. Juga pastikan yang enjin dibersihkan dengan betul semasa proses overhaul kerana mendapan/kerak karbonlah yang sering menjadi punca masalah enjin.
'Skim cylinder head' supaya rata dan kembalikan prestasi enjin. Gambar: performanceheadengineering.co.uk
Selalunya kesilapan sebegini akan menyebabkan anda betul-betul rasa tak puas hati setelah berbelanja ribuan ringgit kerana enjin masih bermasalah. Pastikan servis overhaul anda disertai waranti sekurang-kurangnya 3 atau 5 bulan.
Bila selalunya orang buat overhaul enjin?
Bila kereta mula menunjukkan masalah, atau dah rosak dan bila dah ada duit. (:
Masalah ini boleh dielakkan dengan membiasakan tabiat memeriksa enjin seminggu sekali, memberi perhatian pada panel instrumen dan bertindak pantas apabila ada lampu amaran. Anda boleh dapatkan nasihat daripada seorang ‘lejen’ yang keretanya dah jalan sejuta batu tapi masih ‘tip-top’.
Di Singapura, pemilik kereta akan membuat overhaul setelah 5 atau 10 tahun kerana mereka mahu memanjangkan tempoh COE (Certificate of Entitlement) – lesen kuota untuk pemilikan dan penggunaan kenderaan di Singapura yang sah selama 10 tahun.
Top overhaul Volvo V40 Wagon turbo. Gambar: motecmat.wordpress
Anggaran kos top overhaul dan full overhaul
Bergantung kepada berapa banyak bahagian yang perlu diganti, kerja-kerja top overhaul akan mempunyai kos yang berbeza. Kereta-kereta seperti Proton Wira, Persona, Saga, atau Perodua Kenari dan Kelisa selalunya memakan kos sekitar RM 800 – 3,000 untuk top overhaul. Full overhaul selalunya bermula dari RM 4,000 atau RM 5,000 ke atas, bergantung pada model kereta.
Kerja-kerja overhaul memerlukan alatan dan kemahiran yang betul. Semestinya satu kerja penyelenggaraan yang 'major', tak selalunya murah
Ada juga yang memutuskan untuk tidak melakukan overhaul dan menukar blok enjin terus. Berbincanglah dengan mekanik yang boleh dipercayai tentang jalan penyelesaian yang sebaik-baiknya. Juga tak salah jika anda minta pendapat dari mekanik lain untuk ‘second opinion’ supaya anda boleh buat keputusan dengan baik.