Beli Alat Ganti Kereta Dari Luar Negara Melalui Internet – Waspada Cukai Import Sehingga 40 Peratus

Dalam zaman serba mudah sekarang, kita boleh melakukan pembelian atas talian bukan sahaja daripada platform tempatan, tapi juga luar negara. Semuanya bergantung kepada kita untuk menimbang sama ada laman tersebut boleh dipercayai atau tidak, dengan harapan barang tersebut akan sampai secara selamat.

Ini sekaligus memberikan sedikit ketenangan kepada pemilik kenderaan yang susah untuk mendapatkan alat ganti dari dalam negara kerana boleh mendapatkannya dari seluruh dunia. Ini termasuklah juga saya yang memiliki KTM Enduro 690 tahun 2015. Setakat alat ganti asal pengeluar memang boleh didapati daripada pengedar rasmi KTM di Malaysia, tapi untuk aksesori sedikit sukar.

Sedikit cerita tentang motosikal itu, sebelum ini saya memang sudah menggunakan penapis udara dan ekzos aftermarket manakala ECU pula telah ditala untuk dijadikan sesuai dengan pakej tersebut. Walaubagaimanapun, setelah hampir tiga tahun digunakan, bahagian gentian karbon pada ekzos tersebut telah pecah dan perlu ditukar. Saya akhirnya membuat keputusan untuk membeli sahaja ekzos baru yang dibuat daripada stainless steel pula. Ekzos asal sudah tidak sesuai dengan pemetaan ECU.

Untuk unit aftermarket, setelah beberapa minggu mencari di dalam Malaysia, saya cuma menjumpai unit Akrapovic yang berharga lebih RM7k untuk slip-on sahaja. Ini terlalu jauh daripada bajet, dan saya beralih kepada atas talian untuk unit yang lebih mampu milik. Dipendekkan cerita, saya membuat keputusan untuk membeli unit jenama Arrow daripada satu laman web yang berpusat di Itali dengan harga 349.56 Euro (sekitar RM1,600).
Pembelian dilakukan pada 15 November 2019, dan pada 19 November, melalui no penjejak (tracing number) saya dapat tahu ia sudah mula dipos menggunakan khidmat Poste Italianne. Sudah tentu, dalam hati terasa tidak sabar menunggu ia tiba tapi pada 2 Disember saya dapati terdapat masalah di mana bungkusan tersebut sangkut di pusat pertukaran antarabangsa Malaysia.
Awalnya saya cuma bersangka mungkin ia sekadar untuk pemeriksaan, tetapi lepas dua minggu masih tiada pergerakan, saya membuat keputusan untuk terus ke hab antarabangsa Pos Malaysia di KLIA. Ternyata barang tersebut ada di situ. Sebelum boleh diambil, saya diarahkan oleh pegawai Pos Malaysia untuk ke kaunter Kastam terlebih dahulu.

Di situ saya disuruh untuk membuka bungkusan dan menyatakan apa di dalamnya. Kemudian, mereka memberitahu ada duti import serta cukai yang perlu dibayar. Saya sudah menjangkakan perkara ini dan yang lebih penting adalah berapa. Setelah mengambil kira jenis barang, pegawai tersebut memberitahu duti import adalah 25 peratus dan cukai SST pula 10 peratus. Ia dikira daripada jumlah keseluruhan barang dalam Ringgit Malaysia, setelah dibundarkan kepada RM1,600.

Secara keseluruhannya, untuk barang tersebut dilepaskan, saya perlu membayar duti import RM400 (25% x RM1,600) dan SST RM200 (10% x (RM1,600 + RM400)). Jadi kesimpulannya, jumlah keseluruhan barang saya itu termasuk duti dan cukai adalah RM2,200. Harga RM1,600 yang saya bayar awalnya kepada laman web Eropah itu adalah harga dengan diskaun, tetapi apabila sudah dicampurkan dengan cukai ini, harganya seperti kembali kepada asal. Walaupun begitu, ia masih adalah unit yang termurah dalam pasaran.


Jadi, melalui pengalaman ini, kami mahu mengingatkan anda bahawa apabila membeli barang alat ganti atas talian dari luar negara, masukkan sekali kos duti import dan cukai ini supaya anda tahu harga sebenar untuk barang tiba kepada anda. Jangan sampai nanti setelah membeli barang tersebut, dan ia sangkut di kastam, anda tidak sanggup pula untuk membayar cukai kerana terlalu mahal. Kalau anda tidak bayar, barang juga tidak boleh diambil.

Anda sebenarnya boleh melihat tarif duti import dan cukai ini melalui laman web kastam, dengan mencari Kod HS barang tersebut. Setakat yang kami perhatikan, untuk alat ganti kenderaan, ia boleh pergi antara lima peratus hingga 40 peratus. Kemudiannya, ada lagi tambahan 10 peratus untuk cukai SST. Jadi, bergantung kepada anda lah sama ada sanggup atau tidak untuk membayar cukai dan duti ini.